
Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, insentif kepada guru pedalaman adalah mengikut tahap kesukaran yang dialami guru yang berkhidmat di sesuatu kawasan. Kenyataan itu juga menyatakan bayaran yang diberikan adalah RM500 sehingga RM1,500 bagi pedalaman tahap pertama hingga ketiga.
Namun, menurut pekeliling baru, Elaun Hidup Susah (BIP) sebanyak 10 peratus yang diterima guru sebelum ini akan ditolak jika guru berkenaan menerima insentif khas pedalaman.
Ia bermakna bagi tahap pedalaman pertama yang menerima insentif khas pedalaman RM500 sebenarnya hanya menerima tidak sampai RM300. Di manakah kewajaran kementerian yang sebelum meuar-uarkan memberi insentif khas pedalaman RM500 hingga RM1,500 sedangkan kami hanya terima kurang daripada jumlah itu.
Perkara kedua yang membuatkan kami rasa terkilan adalah berkenaan pemilihan untuk menentukan tahap pedalaman sesuatu kawasan. Apa yang kami perhatikan di sini, ada sekolah yang terletak berhampiran dengan pekan dan mempunyai pelbagai kemudahan, tetapi tergolong dalam tahap pedalaman kedua yang menerima insentif RM1,000.
Namun, sekolah yang jaraknya berpuluh-puluh kilometer dari pekan dan tiada kemudahan jalan raya, elektrik, bekalan air bersih, klinik dan sebagainya hanya dikelaskan sebagai pedalaman tahap pertama yang menerima bayaran RM500.
Adakah ini adil kepada kami yang jauh terperosok di kawasan pedalaman yang langsung tiada kemudahan infrastruktur, tetapi hanya diklasifikasikan sebagai pedalaman tahap pertama?
No comments:
Post a Comment